it's a daisy!

say hello to a girl that i am. you gonna see the world tru my perspective. I am gonna make mistake just to learn who i am. I love each day of mylife.

Friday, April 23, 2004

Rencana

Islam sebagai agama berasaskan buku
Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim

Hari ini, 23 April adalah Hari Buku Sedunia yang disambut di peringkat antarabangsa.

Buku mempunyai makna besar bagi agama Islam dan umat Islam. Ini kerana agama ini berasaskan kepada sebuah buku, atau kitab. Buku dan kitab membawa makna yang samanya. Cumanya dari segi bahasa Melayu, kitab merujuk pada buku agama.

Islam berasaskan Kitabullah, atau buku Allah s.w.t. iaitu al-Quran. Namun begitu, al-Quran yang merupakan wahyu tidak diturunkan sebagai kitab. Ia diturunkan sebagai pembacaan, sebab itu namanya al-Quran yang bererti pembacaan.

Bagaimana pula bacaan dibuat tanpa kitab? Pada masa ini sering kali pembacaan dihubungkan dengan penulisan. Kita membaca tulisan. Tetapi asalnya tidak demikian. Sebelum ada tulisan, orang membaca daripada pendengaran, atau lisan. Mereka mendengar, kemudian mengulanginya dan menghafal. Itulah yang dilakukan oleh cendekiawan zaman silam sebelum adanya tulisan dan buku. Itulah yang dilakukan oleh ahli-ahli falsafah Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle.

Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w. ketika menerima wahyu. Malaikat Jibril a.s. meminta baginda membaca, yang bermakna mengulangi kata-katanya. Al-Quran kemudian dihafal supaya boleh dibaca oleh umat Islam.

Sebab itu, tradisi hafiz amat penting dalam Islam. Tetapi sudah tentu, tidak semua mampu menghafal, dan kepandaian manusia menulis membawa kepada catatan ayat-ayat al-Quran di pelbagai tempat seperti di kulit-kulit kambing. Maka bermulalah penulisan dalam tradisi Islam, yang berkembang menjadi seni khat atau kaligrafi.

Penulisan menjadi ciri penting dalam agama Islam. Malah terdapat perumpamaan berhubung dengan Allah s.w.t. yang dikaitkan dengan penulisan iaitu Kalam, bermakna pena tetapi dirujuk kepada firman Allah s.w.t. Begitu juga dengan tinta atau dakwat serta Lohmahfuz yang bermakna batu tulis.

Penulisan al-Quran ini kemudian dihimpun dalam bentuk lembaran-lembaran atau masyhaf yang akhirnya semasa Khalifah Uthman bin Affan r.a. telah dibukukan, maka bermulalah tradisi buku dan kitab dalam Islam.

Daripada al-Quran, pelbagai jenis kitab berkembang dan bercambah. Bermula dengan hadis, ia kemudian merangkumi semua jenis ilmu yang difikirkan oleh ulama dan cendekiawan Islam, meliputi semua jenis ilmu, termasuk sains dan teknologi, malah kajian terhadap agama lain. Umpamanya al-Biruni semasa pemerintahan Moghul telah membuat kajian mendalam tentang agama Hindu.

Buku-buku ini dihimpunkan untuk digunakan bagi penyelidikan dan perbahasan di kutub-kutub khanah atau perpustakaan yang ditaja oleh khalifah-khalifah.

Paling terkenal ialah Baitul Hikmah (Gedung Kebijaksanaan) semasa pemerintahan Khalifah-khalifah Abasiah yang berpusat di Baghdad.

Kejatuhan tamadun Islam berlaku apabila penyerang-penyerang Mongol sampai ke Baghdad. Mereka membunuh ulama dan cendekiawan. Membakar perpustakaan dan mencampakkan buku-buku ke Sungai Tigris hingga air sungai itu menjadi hitam diwarnai oleh dakwat.

emel: arahman_arahim@yahoo.com